Friday, April 6, 2012


Puteraz,saya ingin mendapatkan kepastian dan jawapan daripada pihak Tuan. Agak-agak mengapa apabila saya lihat rakan kelas saya di universiti, hati saya tiba-tiba berdegup dengan laju dan kencang?
Kalau dilihat kepada kesihatan saya, masih baik. Saya tidak pasti mengapa. Selain itu, apabila saya lihat dia bercakap dengan lelaki lain, saya serta merta jadi cemburu. Saya ingin benar untuk bercakap dengan dia tetapi diri ini berasa gugup dan tidak berani. Apabila saya bertembung muka dengannya saya jadi segan dan malu-malu.
Kenapa ye tuan? Adakah ini dipanggil cinta? Atau ini hanya perasaan saya sebelah pihak sahaja? Harap pihak Pakar Cinta dapat membantu saya! Terima Kasih.
Pembaca Setia Pakar Cinta ( 23 Tahun )

Jawapan Pakar Cinta:
Waalaikumsalam. Insyallah ..
Apa yang kita fahami tentang erti cinta? Jika kita tanyakan persoalan ini kepada para remaja yang sedang hangat bercinta, pelbagai jawapan yang akan diperolehi. Di antara jawapan itu mungkin ada yang berkata cinta adalah kasih sayang, cinta adalah buta, cinta adalah rindu-rinduan, cinta adalah tempat meluahkan perasaan dan pelbagai jawapan lagi. Ini hanyalah jawapan pada tanggapan mereka sahaja bahawa cinta bermaksud sedemikian. Betulkah maksud cinta seperti yang para remaja itu fahami?
Melihat kepada keadaan saudara, ianya didasarkan atas minat dan cinta kepada seseorang itu. Firman Allah Taala bermaksud: Dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan. (Surah an-Najm: Ayat45).
Perasaan untuk berpasangan dan bercinta adalah fitrah yang telah dicampakkan oleh Allah Taala kepada hamba-hambaNya. Ini bermakna fitrah untuk dicinta dan mencintai adalah sesuatu yang suci lagi bersih.Saudara boleh terus meluahkan perasaan sebenar kepada dia jika amat meminati beliau namun perlulah mengikuti syarat islam berikut:
1. Hendaklah cinta kita itu didasari kepada cintakan Allah Taala.
Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Taala. Allah Taala yang memberikan fitrah itu kepada kita, maka gunakanlah fitrah itu untuk menghampirkan diri kepadaNya.
2. Pastikan semasa menjalinkan hubungan cinta itu tiada hukum Allah Taala yang dilanggar.
Di antaranya ialah tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan di tempat yang sunyi, tidak mendedahkan aurat, tidak mengabaikan asas-asas agama seperti solat dan lain-lain lagi.
3. Jangan mencintai seseorang lebih dari mencintai Allah Taala.
Maksudnya, janganlah kita mencintai seseorang itu lebih hebat daripada kita mencintai Allah Taala. Cintailah seseorang itu seadanya sahaja dan cintailah Pencipta cinta itu lebih dari segalanya.
Insyallah, semoga pihak kami di sini menjawab persoalan saudara. Insyallah, salam ramadhan diucapkan dan semoga terus sukses dalam kehiudpan anda!!

0 comments:

Post a Comment

Template by:

Free Blog Templates